Beku Bina Penempatan Yahudi

Thursday 28 May 2009

Petikan dari: Utusan Malaysia, 29hb Mei

Oleh: Komuniti Blogger Palestineevergreen


WASHINGTON 28 Mei - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) mahu Israel membekukan pembinaan semua kawasan penempatan Yahudi tanpa sebarang pengecualian.

Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton menyuarakan pendirian tegas Obama itu semalam sebelum Presiden dijadual menemui rakan sejawatannya dari Palestin, Mahmoud Abbas hari ini dalam usaha memulihkan rundingan damai.

Hillary berkata, Obama telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di sini pada minggu lalu bahawa beliau tidak mahu pembinaan kawasan penempatan Yahudi bagi menampung pertumbuhan semula jadi penduduk dikecualikan daripada seruan beliau supaya kawasan penempatan berkenaan dibekukan.

Kata dua Obama itu disifatkan oleh seorang bekas pegawai AS sebagai kenyataan paling tegas pernah disuarakan kepada Israel.

Ia juga menimbulkan satu lagi cabaran kepada Netanyahu yang sudah pun menyatakan keengganannya untuk menyokong penubuhan sebuah negara Palestin merdeka seperti yang dituntut oleh Obama.

Netanyahu memberitahu Kabinetnya pada Ahad lalu, beliau tidak berhasrat untuk membina kawasan penempatan baru tetapi "tidak masuk akal jika kita tidak memenuhi keperluan pertumbuhan semula jadi penduduk dan kita menghentikan semua pembinaan."

Hillary yang bercakap pada sidang media bersama dengan Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit berkata, Presiden dengan jelas telah menyatakan pendiriannya berhubung kawasan penempatan Yahudi semasa pertemuan dengan Netanyahu di White House pada 18 Mei lalu.

"Beliau mahu pembinaan semua kawasan penempatan dihentikan. Bukan sesetengah kawasan penempatan, bukan kawasan penempatan terpencil, bukan kawasan penempatan bagi menampung pertumbuhan semula jadi penduduk," kata Hillary kepada wartawan.

Abul Gheit pula melahirkan rasa optimis dengan ketegasan dan keazaman pentadbiran Obama untuk mengusahakan perdamaian dan penubuhan negara Palestin.

Menteri Luar Mesir itu memberi amaran, rundingan diperlukan bagi mewujudkan sebuah "negara Palestin dengan secepat mungkin", jika tidak dunia akan menderita. - AFP




0 comments:

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP