Palestin alu-alukan keputusan Mesir...
Monday, 30 May 2011
Selasa 31 Mei - Keputusan kerajaan Mesir untuk membuka gerbang Rafah secara berkekalan disambut dengan gembira oleh HAMAS dan kerajaan Palestin. Hal ini jelas bakal memudahkan kemasukan barang- barang keperluan ke Palestin bermula Sabtu depan.
Menurut laporan Press TV, Duta Besar Mesir di Tebing Barat, Yasser Othman, menyebut bahawa dengan membuka pintu masuk Rafah, 70 peratus penduduk Gaza akan dapat melintas masuk ke Mesir tanpa visa atau sekatan keselamatan.Namun begitu, mereka yang berumur antara 18 dan 40 tahun masih perlu melalui pelepasan keselamatan untuk melintas sempadan.
HAMAS berkata dalam satu kenyataan yang dipetik dari biro medianya, " Sesungguhnya kami di Hamas mengalu-alukan dan menghargai keputusan saudara kami di Mesir untuk membuka sempadan Rafah selama-lamanya. Ini menggambarkan betapa kuatnya ikatan ukhuwwah antara rakyat Palestin dan rakyat Mesir yang mula sedar akan tanggungjawab mereka sebagai saudara seakidah.
HAMAS turut berkata : “Kami menganggap keputusan kerajaan Mesir ini sebagai inisiatif berani untuk meruntuhkan tembok pemisah Gaza, yang telah menyebabkan penderitaan bertahun-tahun. Kami berharap agar langkah ini meningkatkan lagi keterikatan dan semangat kerjasama selain menjadi sokongan kepada rakyat Palestin yang masih berjuang untuk mendapatkan semula hak mereka.”
Pintu akan dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan cuti rasmi, mulai 9.00am hingga 5.00pm.
Walau bagaimanapun, harus disedari bahawa tindakan ini belum lagi menghapuskan sekatan ke atas Gaza. Resolusi Mesir ini hanyalah sebagai langkah pertama ke arah pembebasan Palestin. Justeru, kita sebagai mahasiswa yang sedar akan kepentingan Palestin perlulah terus berdoa dan berusaha agar Palestin merdeka suatu hari nanti.
`Silence is not an option`
sumber: http://palestinkini.info/