EPISOD 2 : PERANG DUNIA PERTAMA & PERPECAHAN NEGARA ARAB

Wednesday 18 May 2011

Perang Dunia Pertama

Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya perang dunia pertama. Perang dunia pertama terdiri daripada 2 kuasa besar, iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Italy menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.

Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkaui sehingga ke Algeria, Sudan dan negara-negara utara Afrika, dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari utara, oleh Russia, menyaksikan Russia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu diberi perhatian, pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa, kerajaan Islam adalah disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.


Perpecahan Negara Arab

Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisma di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisma Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak dari itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain.

Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain
menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan - “hari ini, perang salib sudah berakhir”.

Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 sebelum itu kepada mencecah setengah juta, manakalan penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.

Wakil dari Yahudi ketika deklarasi tersebut, merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann. Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut. Weizzman mendesak setiausaha luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Kerana terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour,

Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”

Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!

Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”

Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.

Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.

Akhirnya pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Dari situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.


~~~sambungan...."KEJATUHAN TURKI UTHMANIYYAH"



0 comments:

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP