Israel marah sebut negara Palestine

Friday 12 June 2009

Petikan dari: Berita Harian

Oleh: Komuniti Blogger Palestineevergreen


Yahudi tuduh Obama hina Netanyahu: Gambar menunjukkan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berbual dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan) di pejabat Oval. Foto ini dianggap media Yahudi sebagai menghina pemimpin mereka kerana Obama seolah-olah menunjuk kasut ke arah Netanyahu, lapor CBS News, semalam. Media Israel juga menyamakannya dengan kejadian bekas Presiden Amerika, George W Bush yang dibaling kasut oleh wartawan Iraq di Baghdad, tahun lalu. CBS News menyifatkan anggapan media Israel itu menunjukkan pemimpin mereka berasa terperangkap selepas didesak untuk menghentikan pembinaan penempatan Yahudi oleh Obama. - Foto AFP


Perdana Menteri didesak ketepi tekanan AS

BAITULMAQDIS: Parti Likud meningkatkan tekanan terhadap pemimpinnya, Benjamin Netanyahu yang juga Perdana Menteri Israel supaya mengetepikan desakan Amerika Syarikat dengan tidak menyebut perkataan 'negara Palestin' apabila beliau memberi ucapan dasar, hujung minggu ini.

"Jangan guna perkataan negara Palestin," kata seorang Ahli Parlimen Likud, Miri Regev, mengulangi pandangan beberapa lagi anggota parti berkenaan.


Sehingga ini, Netanyahu tidak menyokong konsep negara Palestin dan menolak tekanan Amerika supaya membekukan kegiatan membina penempatan Yahudi di Tebing Barat yang kini didiami lebih 280,000 warga negara Israel.

Pada masa sama, Netanyahu berharap ucapannya di Universiti Bar Ilan di Tel Aviv akan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan daripada Amerika yang juga sekutu utama Israel.

Cuma, beliau menghadapi masalah dalam blok kerajaan campuran pimpinannya kerana ada pihak menolak negara Palestin, tetapi ada yang menyokong, termasuk Menteri Pertahanan dan pemimpin Buruh, Ehud Barak.

Regev, bagaimanapun, menekankan bahawa Presiden Amerika, Barack Obama sekalipun tidak akan dapat memaksa Kerajaan Israel membuat keputusan dalam isu berkenaan.

"Tekanan Amerika hanyalah dari segi psikologi, jangan lupa Presiden Amerika hanya seorang, perlu ambil kira Kongres dan Senat yang menyokong Israel," katanya.

Turut mendesak Netanyahu supaya tidak membincangkan isu negara Palestin ialah Benny Begin, menteri tanpa portfolio dan anak lelaki bekas Perdana Menteri, Menahem Begin.

"Jika jalan keluar ialah dua negara bagi dua bangsa, penyelesaiannya tiada," kata Benny.

Malah, beliau menuduh pemimpin Palestin tidak mahu pembentukan dua negara sebaliknya mempunyai matlamat 'satu negara ditadbir Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Hamas.'

Rabu lalu, lapan Ahli Parlimen Likud menemui Netanyahu bagi meyakinkan beliau tidak menyebut perkataan 'dua negara' dalam ucapannya.

"Kami meminta kamu tidak membentuk negara Palestin dalam ucapan di Universiti Bar Ilan," kata Danny Danon yang dipetik media Israel. � AFP

0 comments:

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP