Al-quds mengikut keyakinan umat Islam Part 2

Thursday, 9 June 2011

Baitulmaqdis ialah sebuah kota lama yang terletak di Timur Tengah. Israel menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara tetapi pengisytiharan ini tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia.

Kewujudan Negara Israel yang dibantah seluruh dunia
Peta Baitulmaqdis menurut seorang ahli Geografi Arab, Al-Muqaddasi

Baitulmaqdis menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi menghuraikan kepentingan dan keutamaan AL-Quds bagi umat Islam.

Al-Quds Bumi Israk dan Mikraj

Allah SWT telah menjadikan Baitulmaqdis sebagai tempat perhentian rehlah Israk di Bumi dan tempat bertolaknya rehlah Mikraj ke langit. Perancangan ALLAH yang menjadikan malam yang penuh barakah itu bermula dari Masjidil Haram dan berakhir di Masjid Al-Aqsa sebelum bermula perjalanan ke langit, telah menemukan Rasulullah SAW dengan para nabi dan rasul di sana, malah Baginda SAW telah memimpin solat bersama mereka. Peristiwa ini, menurut Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi, sebagai satu berita perpindahan kepimpinan agama di dunia, dari Bani Israel kepada umat Rasul yang baru iaitu umat, Rasul dan kitab yang bersifat universal dan internasional.


Sebagaimana firman ALLAH

"Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai rahmat semesta alam"
Al-Anbiya':107


ALLAH telah merakamkan peristiwa Israk Mikraj di dalam Al-Quran,
"Maha Suci ALLAH yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami"
Al-Isra':1

Berdasarkan ayat di atas, "yang Kami berkati sekelilingnya", sekiranya sekelilingnya diberkati, apatah lagi masjid itu sendiri. Maka, tanpa disangkal lagi, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, mempunyai kepentingan dan kedudukan yang tinggi bagi umat Islam.



Al-Quds Kota Ketiga Yang Dimuliakan

Kota-kota utama dalam Islam:
  1. Makkah al-Mukarramah yang dimuliakan ALLAH dengan Masjidil Haram
  2. Madinah al-Munawwarah yang dimuliakan ALLAH dengan Masjid Nabawi
  3. Baitulmaqdis yang dimuliakan ALLAH dengan Masjid al-Aqsa
Dari Abu Hurairah dan Abu Sa'id al-Khudri berkata bahawasanya Nabi SAW bersabda:
"Bepergian itu tidak ditekankan melainkan (hanya) tiga masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjid al-Aqsa dan masjidku ini" (Bukhari dan Muslim)
Selain itu, hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, bahawasanya Rasulullah SAW ditanya, "Masjid manakah yang pertama sekali dibangunkan di muka bumi ini? Baginda SAW menjawab, "Masjidil Haram. " Lalu Rasulullah SAW ditanya lagi, "Kemudian mana lagi?" Rasulullah SAW menjawab, "Masjid al-Aqsa." (Muttafaqun 'Alaih)

.......bersambung........
Rujukan : Palestin Masalah Kita Bersama, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi








0 comments:

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP